Artikel Kesihatan

Artikel dan berita terkini mengenai penyakit, rawatan dan gaya hidup sihat.
bt_bb_section_bottom_section_coverage_image

Pemeriksaan X-ray dan Persediaan Pesakit

Radiografi am atau x-ray biasa adalah yang paling asas dalam pengimejan perubatan. Ia adalah satu prosedur yang cepat dan tidak menyakitkan untuk menghasilkan imej-imej daripada struktur di dalam badan anda dan sangat membantu untuk menunjukkan tulang dan sendi.

Bilik radiografi am mempunyai sebuah meja panjang dengan tiub x-ray di atasnya dan plat yang besar di dinding. Terdapat cahaya lampu dari tiub X-ray, untuk membantu juru x-ray memposisi pesakit. Juru x-ray melakukan pendedahan x-ray dari panel kawalan yang terletak di belakang skrin atau di luar bilik.

Pemeriksaan X-ray biasa boleh digunakan untuk memeriksa kebanyakan bahagian badan seperti:

  • Spina (tulang belakang) –contoh: Spina servikal, spina lumbar
  • Anggota atas dan bawah – contoh: sendi lutut, sendi pergelangan tangan dan lengan
  • Tengkorak dan tulang muka – contoh: rangka kepala, sinus, dagu dan gusi
  • Toraks – contoh:Dada, klavikel, tulang rusuk
  • Abdomen dan pinggul – contoh: sendi pinggul, abdomen

Cara Mendapatkan Pemeriksaan X-ray

  • Doktor yang merawat anda akan menentukan samada pemeriksaan ini diperlukan.
  • Jika perlu, doktor akan membuat permohonan pemeriksaan menggunakan Borang Permohonan Pemeriksaan Radiologi
  • Pemeriksaan ini boleh didapati di semua hospital dan klinik kesihatan terpilih di bawah Kementerian Kesihatan.

Bila Diperlukan

X-ray biasa dipohon bagi membantu dalam:

  • Diagnosa proses penyakit contoh: pneumonia, tibi, radang, kanser, jangkitan dll.
  • Diagnosa kecederaan contoh: patah tulang
  • Lokasi bendasing dalam badan
  • Pemeriksaan perubatan contoh: pra-pekerjaan dan penjual makanan

Persediaan Melakukan Pemeriksaan X-ray

Sebelum

  • Anda perlu serahkan borang permohonan x-ray di kaunter pendaftaran Jabatan Pengimejan Diagnostik yang sebelum ini dikenali sebagai Jabatan X-ray.
  • X-ray biasa boleh dilakukan pada bila-bila masa waktu bekerja kecuali x-ray buah pinggang, ureter dan pundi kencing (KUB). Anda boleh makan dan minum seperti biasa sebelum dan selepas peperiksaan.
  • KUB dijalankan dengan temujanji kerana memerlukan persediaan usus sebelum pemeriksaan.
  • Juru X-ray akan memanggil dan memeriksa identiti anda sebelum membawa anda masuk ke dalam bilik pemeriksaan.
  • Sila maklumkan kepada Juru X-ray sekiranya anda hamil atau mungkin hamil.
  • Anda mungkin akan diminta untuk menukar kepada pakaian hospital. Barang kemas dan jam tangan mungkin perlu ditanggalkan jika ianya dipakai di bahagian yang hendak diperiksa.

Semasa

  • Juru X-ray akan menerangkan kepada anda prosedur pemeriksaan.
  • Beliau akan memposisikan bahagian badan anda untuk x-ray. Anda mungkin perlu duduk, berdiri atau berbaring bergantung kepada bahagian yang di x-ray. Anda mungkin tidak selesa di beberapa posisi tetapi beg pasir dan alat cegah gerak akan digunakan untuk mengekalkan setiap posisi.
  • Anda mungkin akan diminta supaya tidak bergerak dan menahan nafas ketika dedahan x-ray dilakukan kerana sebarang pergerakkan akan menyebabkan kekaburan imej. Kerjasama anda dapat membantu mengelakkan pemeriksaan ulangan.
  • Pelindung plumbum akan diberikan kepada anda selagi ianya tidak menggangu bahagian yang di x-ray.
  • Juru X-ray mungkin perlu melakukan lebih dari satu dedahan x-ray dari sudut yang berlainan untuk mendapatkan projeksi yang diperlukan untuk diagnosa.

Selepas

  • Juru X-ray akan meneliti imej yang dihasilkan. Jika mencukupi anda boleh menukar semula pakaian dan dibenarkan pulang. Sila pastikan anda tidak meninggalkan barang-barang anda di jabatan.
  • Tiada kesan sampingan apabila menjalani pemeriksaan x-ray biasa dan anda boleh menjalankan aktiviti harian anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *