Artikel Kesihatan

Artikel dan berita terkini mengenai penyakit, rawatan dan gaya hidup sihat.
bt_bb_section_bottom_section_coverage_image

Bilakah Antibiotik Perlu Diberikan

Bakteria adalah organisme yang terdiri daripada satu sel sahaja, tetapi ia mampu menggandakan dirinya dengan banyak. Bentuk bakteria adalah berbeza-beza. dan ianya boleh wujud di mana-mana sahaja, sama ada di dalam atau luar tubuh kita. Kebanyakan bakteria adalah tidak berbahaya dan sebahagian daripadanya sangat berguna untuk tubuh kita. Namun begitu, ada sesetengah bakteria boleh menyebabkan penyakit, sama ada kerana mereka berada di tempat yang tidak sepatutnya dalam tubuh kita atau bakteria itu sememangnya merbahaya dan boleh mendatangkan penyakit.

Ubat Antibiotik

Antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria.

Antibiotik TIDAK BERKESAN terhadap jangkitan virus seperti demam biasa, selesema dan bronkitis akut iaitu sejenis keradangan atau kerengsaan pada saluran pernafasan (tiub bronkiul) di dalam paru-paru.

Penggunaan antibiotik secara tidak tepat atau berlebihan akan menyebabkan kerintangan antibiotik.

Kerintangan Antibiotik

Kerintangan antibiotik berlaku apabila antibiotik hilang keupayaan untuk membunuh bakteria. Oleh itu antibiotik tidak lagi berkesan untuk merawat jangkitan bakteria. Kerintangan terhadap antibiotik terjadi apabila bakteria mengubah dirinya sebagai cara untuk mengurangkan atau menghapuskan keberkesanan antibiotik.

Kerintangan antibiotik adalah disebabkan oleh penggunaan antibiotik yang berlebihan dan tidak tepat contohnya merawat jangkitan yang disebabkan oleh virus dengan antibiotik dalam kebanyakkan jangkitan bahagian atas salur pernafasan seperti sakit tekak dan batuk biasa.

Cara Mencegah Kerintangan Antibiotik

Sebagai seorang pesakit, anda disyorkan untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi mengenai penggunaan antibiotik yang sesuai. Berikut merupakan beberapa panduan asas yang dapat membantu anda dalam menghalang penyebaran kerintangan antibiotik:

  1. Menggunakan antibiotik atau memberi antibiotik kepada anak anda, apabila dipreskrib oleh doktor SAHAJA.

  2. Habiskan semua antibiotik dalam tempoh yang ditetapkan walaupun anda berasa telah sihat. Tidak menghabiskan antibiotik yang seperti yang diarahkan oleh doktor akan menyumbang kepada kerintangan antibiotik. Sekiranya anda tidak melengkapkan rawatan seperti yang disyorkan, kecenderungan berlakunya kerintangan antibiotik adalah tinggi disamping risiko berlakunya jangkitan-semula.

  3. Jangan simpan antibiotik yang tidak habis digunakan untuk tujuan merawat penyakit yang sama pada masa akan datang. Sekiranya masih terdapat lagi baki antibiotik, pastikan ianya dibuang.

  4. Jangan sekali-kali mengambil antibiotik yang dipreskrib untuk orang lain. Jangan berkongsi antibiotik atau menggunakan baki antibiotik sebelumnya. Ini kerana antibiotik ada banyak jenis, dan hanya doktor yang boleh menentukan antibiotik yang sesuai untuk merawat jangkitan tertentu.

  5. Patuhi keputusan dan nasihat doktor APABILA doktor memutuskan anda tidak memerlukan antibiotik.

  6. Amalkan kebersihan diri seperti mencuci tangan bagi mengelakkan jangkitan dan penyebaran jangkitan.

Memastikan Antibiotik Berkesan

Penggunaan antibiotik yang tidak tepat adalah punca utama kepada peningkatan dalam kerintangan antibiotik. Berikut adalah apa yang anda boleh lakukan untuk menggalakkan penggunaan antibiotik yang betul.

  1. Memahami bila antibiotik perlu digunakan:

    Anda tidak perlu mengambil antibiotik setiap kali jatuh sakit. Antibiotik berkesan dalam merawat kebanyakan jangkitan bakteria, tetapi tidak berkesan terhadap jangkitan virus seperti demam, bronkitis akut atau selesema. Sesetengah jangkitan bakteria biasa seperti sakit telinga sederhana, tidak mendapat banyak manfaat daripada penggunaan antibiotik.

  2. Tanyalah doktor apakah yang boleh dilakukan untuk membantu melegakan gejala-gejala jangkitan yang disebabkan oleh virus.

  3. Doktor mengetahui rawatan yang terbaik untuk anda. Bertanya apakah yang boleh dilakukan untuk membantu melegakan gejala-gejala jangkitan dan tidak meminta doktor untuk mempreskrib antibiotik sekiranya tidak sesuai. Mengambil antibiotik seperti yang dipreskribkan.

  4. Jangan sekali-kali mengambil antibiotik tanpa preskripsi atau arahan doktor

    Jika anda tidak menghabiskan antibiotik yang dipreskrib, anda mungkin akan terdorong untuk menggunakan baki yang ada pada masa akan datang apabila anda jatuh sakit atau memberikannya kepada orang lain. Antibiotik merawat jenis jangkitan yang khusus dan antibiotik anda mungkin tidak cukup untuk merawat jangkitan yang baru.

  5. Elakkan penyebaran kuman:

    Menjaga kebersihan adalah amalan terbaik dalam mencegah jangkitan. Basuh tangan anda dengan bersih menggunakan sabun dan air, terutamanya selepas menggunakan tandas, menukar lampin dan apabila hendak mengendalikan makanan. Jagalah kebersihan kawasan penyediaan makanan. Sabun biasa dan air adalah memadai dan mampu membunuh kuman, anda tidak semestinya mengunakan pencuci dan sabun yang ada antibakteria.

Preskripsi Antibiotik Oleh Doktor

Hanya doktor yang boleh menentukan sama ada anda atau anak anda memerlukan antibiotik atau tidak. Mereka akan memberi preskripsi antibiotik untuk anda atau anak anda.

Strategi yang selamat dan berkesan dalam penggunaan antibiotik adalah mempreskrib antibiotik apabila diperlukan sahaja. Antibiotik yang dipilih hendaklah berkesan pada dos yang betul dengan spektrum yang sempit, mempunyai kesan sampingan paling rendah dan kos yang murah.

Prinsip-prinsip am untuk mempreskrib antibiotik:

    1. Hanya mempreskripsi antibiotik untuk jangkitan bakteria sekiranya:

      • Terdapat risiko komplikasi yang tinggi

      • Jangkitan masih tidak sembuh.

      • Terdapat gejala yang teruk dan signifikan.

    2. Menggunakan antibiotik barisan pertama terlebih dahulu.
    3. Simpan antibiotik berspektrum luas untuk jangkitan bakteria yang diindikasikan sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *