Artikel Kesihatan

Artikel dan berita terkini mengenai penyakit, rawatan dan gaya hidup sihat.
bt_bb_section_bottom_section_coverage_image

Tekanan Darah Tinggi – Punca dan Rawatan

Penyakit tekanan darah tinggi atau penyakit hipertensi adalah penyakit kronik yang boleh membawa kepada komplikasi teruk. Seramai 37% populasi Malaysia mengidap penyakit tekanan darah tinggi. Secara amnya penyakit tekanan darah tinggi tidak mempunyai penyebab khusus tetapi faktor seperti sejarah ahli keluarga yang mempunyai penyakit darah tinggi, obesiti, tekanan (stress) dan diabetes telah dikaitkan kepada punca penyakit ini. Pengidap tekanan darah tinggi lazimnya tidak mempunyai sebarang gejala (symptom) khusus.

Tekanan darah yang tinggi akan menyebabkan organ-organ seperti jantung, otak dan ginjal didedahkan kepada tekanan tinggi yang kronik. Pendedahan kepada tekanan darah tinggi ini akan mengakibatkan komplikasi saluran darah sempit di otak dan jantung menyebabkan stroke (angin ahmar) dan serangan jantung. Kegagalan ginjal (buah pinggang) juga boleh berlaku jika tekanan darah yang tinggi tidak dikawal. Penyakit tekanan darah tinggi boleh dielakkan dengan mengamalkan cara hidup sihat.

Pengesanan

Seseorang itu dikatakan mengidap penyakit tekanan darah tinggi apabila bacaan tekanan darah sistolik >140 atau diastolik > 90, (>140/90). Bacaan tekanan darah tidak perlu kedua-duanya (sistolik dan diastolik) tinggi memadai salah satu bacaan tinggi secara berterusan selama 3-6 bulan. Diagnosa penyakit tekanan darah tinggi hanya boleh dilakukan oleh doktor setelah pemantauan tekanan darah dan penilaian risiko kardiovaskular dijalankan. Penentuan kepada penyakit darah tinggi tidak bergantung kepada gejala (simptom) yang di alami oleh individu tersebut. Contohnya sakit kepala atau leher tidak semestinya disebabkan oleh tekanan darah tinggi.

Oleh kerana secara amnya penyakit tekanan darah tinggi tidak mempunyai gejala khusus, individu hendaklah membuat pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya 6 bulan sekali di klinik kesihatan yang berdekatan. Doktor akan memberi rawatan yang sesuai jika diagnosa penyakit tekanan darah tinggi telah dikenal pasti.

Pemantauan

Bacaan tekanan darah yang normal dan tidak memerlukan rawatan, bacaannya adalah seperti berikut iaitu tekanan darah sistolik < 140 dan diastolik < 90 (<140/90). Walau bagaimanapun, tahap tekanan darah sistolik 120 – 139 atau diastolik 80 – 89 (120–139/80–89) dianggap pra-tekanan darah tinggi (pre-hypertensive) dan memerlukan rawatan perubahan cara hidup (non-pharmacological) untuk memastikan tekanan darah dapat dikawal dan tidak memerlukan rawatan ubat-ubatan.

Untuk pengidap penyakit tekanan darah tinggi, bacaan tekanan darah yang perlu dicapai secara amnya adalah <140/90 menggunakan rawatan ubat-ubatan (pharmacological therapy) dan bukan ubat-ubatan (non-pharmacological therapy). Pemantauan tahap tekanan darah akan dilakukan oleh doktor secara berkala. Matlamat rawatan adalah untuk mencapai tahap tekanan darah normal. Individu perlu menjalankan cara hidup sihat dan pengendalian stress yang berkesan supaya tekanan darah akan sentiasa berada di tahap normal.

Rawatan

Penyakit tekanan darah tinggi boleh dirawat oleh doktor yang berdaftar. Rawatan berbentuk pil dan ia boleh didapati dari premis kesihatan kerajaan dan swasta. Mekanisma rawatan adalah pelbagai dan ia termasuk rawatan perlindungan kepada ginjal/buah pinggang (renal protective therapy). Sebarang rawatan hendaklah dipantau oleh doktor dan ubat tidak boleh dibeli di kedai farmasi tanpa pemantauan rapi. Tidak dinafikan sebarang rawatan perubatan mempunyai kesan sampingan termasuklah rawatan tekanan darah tinggi. Namun begitu kesan sampingan adalah sedikit, tidak merbahaya, bersifat sementara dan boleh dirawat oleh doktor.

Jika pesakit mendapat sebarang kesan sampingan dengan rawatan yang diberi, pesakit hendaklah bejumpa doktor supaya ia boleh dirawat dengan segera. Pesakit tidak digalakkan untuk meninggalkan rawatan kerana ini akan menyebabkan tekanan darah meningkat dengan mendadak dan boleh menyebabkan stroke (angin ahmar) atau kematian. Tambahan, pesakit juga tidak digalakkan untuk bertukar doktor dengan kerap (doctor shopping) kerana langkah ini boleh menyebabkan komplikasi lanjut dan pengendalian penyakit tekanan darah tinggi yang sub-optima. Pengendalian penyakit tekanan darah tinggi memerlukan pengurusan rawatan komprehensif dan multidisiplin. Oleh itu adalah penting untuk pesakit mematuhi temujanji rawatan susulan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan dan swasta.

Peranan Suplemen

Sehingga kini, tiada bukti saintifik perubatan (evidence based medicine) yang menyarankan penggunaan rawatan perubatan tradisional dan supplemen untuk mengawal tekanan darah tinggi. Penggunaan rawatan sedemikian masih memerlukan kajian lanjut. Pesakit yang ingin menggunakan perubatan tradisional dan supplemen untuk merawat tekanan darah tinggi hendaklah merujuk kepada Doktor untuk memastikan ia berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan selamat digunakan.

Pesakit yang sedang menggunakan rawatan perubatan tradisional dan supplemen hendaklah berjumpa Doktor supaya tekanan darah dapat dipantau dan sebarang kesan sampingan dapat dirawat sewajarnya. Ini adalah kerana kesan sampingan yang dialami oleh pesakit tidak sama di antara satu individu dengan individu yang lain.

Komplikasi

Penyakit tekanan darah tinggi merupakan salah satu penyakit kronik. Essential hypertension atau  primary hypertension adalah penyakit tekanan darah tinggi (hypertensi) yang paling kerap berlaku.Penyakit tekanan darah tinggi juga boleh disebabkan oleh masalah buah pinggang, penyakit endokrin dan lain-lain.

Tekanan darah tinggi yang kronik akan menyebabkan perubahan atherosclerosis pada dinding salur darah. Ini akan mengakibatkan salur darah menjadi sempit pada jantung, otak dan salur darah utama. Pengaliran darah menjadi tidak lancar dan boleh mengakibatkan stroke (angin ahmar) dan serangan jantung (heart attack myocardial infarction). Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal juga akan menyebabkan buah pinggang mengalami tekanan tinggi yang kronik. Ini akan menyebabkan kerosakan kepada tisu buah pinggang dan selanjutkan akan mengakibatkan kegagalan buah pinggang.

Pesakit yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi hendaklah mendapat rawatan lanjut daripada Doktor di klinik kesihatan atau hospital terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *