Artikel Kesihatan

Artikel dan berita terkini mengenai penyakit, rawatan dan gaya hidup sihat.
bt_bb_section_bottom_section_coverage_image

COVID-19 – Punca, Tanda dan Rawatan

Coronavirus adalah satu keluarga besar virus yang menyebabkan jangkitan saluran pernafasan seperti Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) dan Middle East Respiratory Syndrome-related Coronavirus (MERS-CoV). Coronavirus terbaharu dan menjadi pandemik di seluruh dunia kini dikenali sebagai Novel Coronavirus 2019 (COVID-19).

COVID-19 telah mula dikesan di negara China dengan kes pertama disahkan pada 7 Januari 2020 di Wuhan, Hubei, China. Dalam tempoh tiga (3) minggu seterusnya, kes-kes disahkan di Thailand, Nepal, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Singapura, Perancis, Vietnam, Malaysia, Australia, Canada, Cambodia, Sri Lanka dan Jerman. Kes pertama di Malaysia disahkan pada 25 Januari 2020. Sehingga kini, penyakit COVID- 19 masih lagi menular di Malaysia. Sejak 20 September 2020, Malaysia sudah memasuki permulaan gelombang ketiga COVID-19 susulan peningkatan mendadak kes jangkitan virus COVID-19. Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa terus menjalankan program dan aktiviti kawalan dan pencegahan bagi membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Cara Penularan

Cara penularan novel coronavirus COVID-19 daripada individu kepada individu yang lain adalah melalui titisan dari hidung atau mulut yang tersebar apabila seseorang yang dijangkiti COVID-19 batuk atau bersin. Titisan ini melekat pada objek dan permukaan di sekelilingnya. Orang lain yang menyentuh objek atau permukaan ini mempunyai risiko mendapat jangkitan COVID-19 apabila beliau menyentuh mata, hidung atau mulutnya selepas menyentuh permukaan/objek yang tercemar. Seseorang itu juga boleh dijangkiti COVID-19 jika mereka berada dekat dengan pesakit COVID-19 yang batuk, bersin atau bercakap dalam jarak yang dekat. Itulah sebabnya penting untuk mengekalkan jarak sekurang- kurangnya 1 meter daripada orang yang bergejala.

KKM sentiasa mengawasi perkembangan jangkitan ini dan mengemas kini maklumat penyakit ini dalam laman sesawang KKM. Orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Pemakaian Pelitup Muka

Pemakaian pelitup muka atau 3-ply face mask adalah disyorkan kerana ia membantu mengurangkan penyebaran virus dan lebih praktikal untuk digunakan oleh orang awam. Ianya menghalang pendedahan orang lain kepada titisan dan percikan air liur orang yang memakai pelitup muka ini. Namun, N95 tidak disyorkan untuk orang awam kerana ia perlu dipakai dengan cara yang betul dan saiz yang bersesuaian. Ia lebih sesuai digunakan oleh anggota kesihatan yang mengendalikan pesakit di fasiliti kesihatan.

Kriteria Covid-19

Anda disyaki menghidap penyakit COVID-19 apabila anda memenuhi kriteria secara klinikal dan epidemiologi.

a. Kriteria klinikal

i) Sekurang kurangnya dua daripada gejala berikut:

  • Demam
  • Kesejukan
  • Menggigil
  • Sakit otot
  • Sakit kepala
  • Sakit tekak
  • Loya atau muntah
  • Cirit-birit
  • Kelesuan
  • Hidung tersumbat atau selsema secara tiba-tiba

ATAU

ii) Salah satu daripada gejala berikut:

  • Batuk
  • Sesak nafas
  • Kesukaran bernafas
  • Hilang deria bau secara tiba-tiba
  • Hilang deria rasa secara tiba-tiba

ATAU

iii) Mengalami penyakit pernafasan yang teruk dengan sekurang-kurangnya satu daripada gejala berikut:

  • Radang paru-paru (pneumonia)
  • Sindrom kecemasan respiratori akut (Acute Respiratory Distress Syndrome)

b. Kriteria epidemiologi

  • Pernah menghadiri majlis atau kawasan yang dikaitkan dengan kluster COVID-19 atau zon merah

ATAU

  • Pernah mengembara/tinggal di luar negara dalam masa 14 hari sebelum bergejalaATAU
  • Kontak rapat dengan pesakit COVID-19 dalam masa 14 hari sebelum bergejala.

Bila Perlu Berjumpa Doktor

Anda hendaklah segera berjumpa doktor jika mempunyai gejala demam atau jangkitan saluran pernafasan seperti batuk dan selsema. Sila dapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan terdekat, pakai pelitup muka, jaga penjarakan sekurang-kurangya 1 meter dan amalkan etika batuk dan bersin apabila anda keluar dari rumah untuk mendapatkan rawatan.

Rawatan Covid-19

Sehingga kini, tiada rawatan khusus atau ubat antivirus untuk jangkitan COVID-19. Rawatan diberikan hanya untuk mengurangkan gejala yang dialami pesakit.

COVID-19 berpotensi menyebabkan penyakit yang teruk sehingga membawa kematian, terutamanya dalam kalangan orang tua dan orang yang mempunyai masalah kesihatan atau sistem imun yang rendah. Ciri- ciri terperinci virus ini belum diketahui.

Golongan Berisiko Tinggi

Golongan berisiko tinggi adalah seperti berikut:

  • Kanak-kanak
  • Warga emas berusia 60 tahun ke atas
  • Pesakit dengan penyakit kronik
  • Pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah
  • Wanita hamil

Oleh itu, golongan berisiko tinggi dinasihatkan untuk duduk di rumah dan menghadkan aktiviti yang melibatkan orang ramai kerana lebih berisiko untuk mendapat penyakit COVID-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *